Make your own free website on Tripod.com

PUSAT ILMU PENYELIDIKAN ISLAM ( P.I.P.I )

PENGENALAN PIPI
BORANG KEMASUKAN
AL-A'AWAAN
AL-RAAHAH
ARTIKEL & PUISI
WARGA PENGGERAK
BUKU PELAWAT
DISCLAIMER

RENUNGILAH BERSAMA...
 

ULAMA’

Oleh : Abu Bazli Abdul Kadir Che Kob

 

Atuk

Tanganmu putih berseri

Kau tadahkan

Untuk menerima amanat Ilahi

Al-Quran dan Al-Hadith Nabawi

Cenderamata warisan zaman berzaman

Dari rasul pembawa risalah Rabul Izzati

Kau pikul diawan taqwa

Memasuki padang gersang

Kau sirami dedaun menghijau menyubur merata-rata

Di dada mu disematkan bintang-bintang kebesaran

Menghormati jasamu tak kunjung padam

Penamu mengalirkan sungai ilmu

Menyuburkan bumi beberapa ketika

Mulutmu menyemburkan mutiara

Rebutan insan  zaman berzaman

Kau adalah pelita

Menerangi si buta yang meraba

Nurmu bagai pedoman

Telunjukmu dijejaki

Lingkaranmu didakapi

Di ribamu ditangisi

Pohon restu berkat dan syafaat

Mengikut jalan-jalan ditentukan

Mendaki menurun tetap taat

 

Di mana-mana kau berada

Di pentas kau didengari

Di kepala meja memulakan acara

Pakaianmu fesyen ikutan

Gayamu bagaikan peragawan

Ucap tuturmu menawan kalbu

Kau jelmakan Al-Quran dalam hidupmu

Kau persadakan Al-Hadith dalam dirimu

Padamu dianggap ada segala

Apa yang dihajati apa yang diperlui

Atuk ajarlah saya

Atuk boleh saya tanya

Atuk boleh saya tumpang duduk

Atuk bagaimana masalah ini

Atuk saya tak fahamlah

Atuk tolonglah saya

Atuk tolonglah bimbing anak-anak ini

Biar pandai macam atuk juga

Kau benar, berwibawa, pembela, perangsang

Penyampai hidayat Ilahi Rabbul Akram

 

Atuk

Di mana-mana jua kau perwira

Di gelanggang politik kau pembela umat

Kau membangun jiwa raga

Kau membina tamadun peradaban

Kau penyibar risalah Muhammad

Buana di telunjukmu

Pimpinanmu disegani digeruni

Terajangmu perkasa berwibawa bagai pahlawan

Firasatmu tajam mengatur percaturan

Kau gilang gemilang

Di gelanggang peradaban kau pengembala

Mengalunkan seruling lagu-lagu bertenaga

Menghala ke ragutan menghijau

Menghala ke gunungan membiru

Menghala pancutan meninggi awan

Menghala ke lurah menggali karun

Terbina tamadun

Megah berteduh di rimbunanmu

 

Di gelanggang ekonomi kau saudagar

Memperdagangkan kurniaan Ilahi

Pengusaha menjejak tumitmu

Mata menikam fatwa-fatwamu

Demi ekonomi Islam

Sistemnya kau hayati sendiri

Bukan dengan kata-kata melalak

Bahkan dengan amalan keringatmu

Kau penggerak keadilan ekonomi

Dalam masyarakat majmuk berbagai

Dengan hartamu

Dengan recikan air jasadmu

Dengan contoh gerak gerimu

Dengan contoh kemampuan ketokohanmu

Dengan contoh kegigihan usahamu

Dengan contoh bekalan taqwamu

Kau bukan sekadar bintang

Kaulah mentari pagi

Bercahaya menyinari

Panduan hidup abadi

Sepanjang zaman

 

Atuk

Zaman tidak selalunya bersamamu

Anak-anak tiada lagi meminatimu

Namamu tenggelam diangin lalu

Kau tiada lagi di kepala meja

Di pentas kau hanya pengalun doa

Kehadiranmu hanya sekadar jirim mengambil lapang

Jejarimu kaku untuk bicara

Ngaumanmu mirip harimau tua

Pakaianmu dianggap penunggang unta

Kau dimaki nista

Penyekat hajat tokoh perwira

Kau dianggap mengambil upah

Untuk berkata apa yang ketara

Madumu dianggap racun

Kerdipan bintangmu dianggap hantu

Obormu menyala untuk kelkatu

Di mana kegemilanganmu

Di mana daulatmu

Di mana kesaktianmu

Di mana hikmatmu

Tiada apa diperlukan darimu

Kau turun dari istana impian

Dihanyuti arus dalam sendirian

Kau merenung kelilingmu berwarna

Kau menggeleng kepala kecewa

Budaya kuning kian menebal sekitarmu

Menusuk masuk ke kamarmu

Andainya kau berdiam diri

Alam terlalu gelita untukmu?

Atau ini waktunya untuk berehat?

Atau ranjaunya terlalu tajam untuk kau tempuhi?

Atau azammu sudah terlalu kuyup untuk dinyalakan?

Atau terlau lemah sendi-sendimu?

Kau binasa dalam keadaan

Tanpa baka yang berbelai

Jika putus tali perjuangan ini

Tanpa sempat disambung lagi

Kehidupan masyarakat akan terburai

Meraba-rabalah insan sepanjang zaman

Nya akan memilih jalan-jalannya sendiri

Nya tidak akan dapat mendaki kegemilangan masa depan

Nya akan dipandu syaitan bistari

Nya akan merempuh melanggar membujur lalu melintang patah

Remuklah bimbingan Ilahi

Berkecailah cahaya hidayat

Terputuslah titian Siratul Mustaqim

Warisan Rasul-rasul utusan Ilahi

 

Atuk

Dengarlah

Ayam sudah berkokok

Fajar sudah menjelang tiba

Malam pekat sudah berlalu

Nun di ufuk timur cahaya mula menembusi buana

Bangunlah atuk

Lihat di laman rumah

Ramai orang sedang menunggu

Dari semalam mereka menanti

Mereka takut mengejutmu

Nanti dikatakan tidak beradab sopan

Di tengah kegelapan malam mereka meraba

Mereka tetap datang padamu

Kini sudah berada di lamanmu

  

Mana anak–anakmu

Carilah mereka

Kejutlah mereka

Katakan zaman bermimpi sudah berlalu

Besok hidup bermentari

Menyinari segala-gala

Suruhlah mereka segera berwuduk

Untuk berjemaah pagi

Selepas bersolat

Nya perlu kuliah subuhmu

Perlu meneguk air hikmahmu

Perlu madumu

Perlukan mutiaramu

Perlukan kesaktianmu

Nya akan bahagi-bahagikan pedomanmu

Nya akan bahagi-bahagikan madumu

Nya akan kilatkan mutiaramu agar ia memancar cahaya

Nya akan guna kesaktianmu

Nya akan kupas hikmahmu

Kuah yang kau tumpahkan

Benih yang kau tanamkan

Air yang kau siramkan

Baja yang kau taburkan

Inti yang kau sumbatkan

Akan menjadi bekal untuk anak-anak yang sedang membesar

Meninggi awan

Meredah angkasa raya

Merempuh kayangan istana dewa dewi

Memporak-perandakan Azazil

 

Atuk

Pabila anak-anakmu membesar

Mereka akan berada di mana-mana

Menyalakan obormu, memancarkan mutiaramu

Di gelanggang politik

Mereka menghayunkan tongkat hikmatmu

Memadamkan api-api kemungkaran

Jelmakan Nur

Penunjuk Luh Mahfuz

Hidayat Rabbul Jalil

Melindungi keadilan di merata

Merekalah pembawa madu

Untuk disirami pasti

Atas pepejal

Batu beraneka warna

Lembutlah hati dalam dakapan Silaturrahim

Anjuran rasul-rasul

Membina thiqah tambatan persahabatan

Unggul, megah, tegak

Berdiri sama tinggi

Duduk serata seiringan

Dalam perjalanan.

© 2004 P.I.P.I. The Webmasters - Tuan Asmawi http://voicetatu.tripod.com & Mohd Suhaimi