Make your own free website on Tripod.com

PUSAT ILMU PENYELIDIKAN ISLAM ( P.I.P.I )

PENGENALAN PIPI
BORANG KEMASUKAN
AL-A'AWAAN
AL-RAAHAH
ARTIKEL & PUISI
WARGA PENGGERAK
BUKU PELAWAT
DISCLAIMER

SEJARAH KELAHIRAN INSTITUSI PENGAJIAN PONDOK

 OLEH: ZAKUAN BIN SAWAI

___________________________________________________________________

 

 

Institusi pengajian pondok merupakan institusi pendidikan yang tertua di Tanah Melayu. Tidak diketahui dengan tepat bilakah tarikh mulanya sekolah pondok diperkenalkan di Tanah Melayu, yang pasti sekolah pondok wujud tanpa dirancang. Ianya muncul dan berkembang mengikut keperluan dan sambutan orang ramai yang datang belajar di satu-satu tempat yang mempunyai Tok Guru yang mengajar ilmu-ilmu agama.

 

Walau bagaimanapun terdapat keterangan mengatakan bahawa sekolah pondok berasal dari Pattani, Selatan Thailand. Ini berdasarkan bahawa Pattani terkenal sebagai Pusat Pelajaran Agama dan Kebudayaan Melayu pada abad ke 16 dan 17 Masihi. Juga berdasarkan pada kurun ke 12 terdapat ramai ulama’ Pattani menyusun kitab-kitab Jawi yang digunakan di pondok-pondok. Kebanyakan Tok Guru menggunakan loghat (dailek) Pattani bila menyampaikan pengajaran mereka khususnya bagi pondok di negeri Kedah dan Perak. Kemungkinan yang kedua: Pondok  berasal dari Kalimantan, Indonesia berdasarkan beberapa buah kitab Jawi yang dibawa dan dibaca di pondok-pondok hasil terjemahan ulama’ Banjar dan Jawa.

 

Sebagai contoh di utara Semenjung Malaysia terdapat Tok guru pondok yang mendapat pendidikan dari Pattani dan Indonesia. Ulama’ yang berasal dari pendidikan Sumatera seperti Haji Muhmud Taha (pondok Alor Belat) Butterworth tahun 1880an. Ibrahim Acheh, Tok Syeikh Acheh (pondok Permatang Janggus) Kepala batas, Seberang Prai Tengah, tahun 1885an. Fakih Daim (pondok sungai Dereka) Seberang Prai Tengah, tahun 1880an. Haji Salleh al-Misri (pondok al-Masriyyah) Bukit Mertajam tahun 1906.

 

Golongan kedua berasal dari pendidikan Pattani seperti Haji Zainal atau Tuan Minal (pondok Sungai Dua) tahun 1875. Haji Mahmud Taib (pondok Kubang Semang), Seberang Prai Tengah tahun 1920. Haji Ahmad Padang Lalang (pondok Lalang) Bukit Mertajam tahun 1890 dan Tuan Haji Husin Mohamad nasir bergelar Tuan Haji Husin  Kedah (pondok Pokok Sena) Kepala Batas Seberang Prai tahun 1934 dan (pondok Padang Lumat) Gurun Kedah tahun 1924.

 

Perkataan “pondok” berasal dari bahasa arab yang bermaksud khemah: sebagai tempat persinggahan sementara bagi pengembara. Istilah pondok termashyur sebagai tempat tinggal yang diduduki oleh pelajar-pelajar yang datang ke satu tempat untuk mempelajarai ilmu-ilmu agama dengan membawa barang-barang keperluan sendiri. Definisi ini menepati pengertian yang diberikan oleh Kamus Dewan yang diertikan bagi madrasah dan asrama tempat belajar agama.

 

Bentuk pondok di Tanah Melayu sama dengan bentuk pondok-pondok yang terdapat di Indonesia, dengan menggunakan istilah pesantren di Jawa, Penjentren di Madura, Rangrang di Acheh, surau di Minangkabau dan Langgar di Sumatera. Ianya diertikan sebagai deretan rumah-rumah yang kecil yang menjadi tempat kediaman pelajar-pelajar agama. Akhirnya ia digunakan bagi gelaran kepada System Pendidikan Tradisional bagi daerah Nusantara yang terkenal dengan system Pengajian Pondok.

 

Pondok di Indonesia diperbuat daripada buloh. Di desa yang makmur terdapat pondok-pondok yang diperbuat dari bahan kayu yang baik bertiang dan bertangga kayu. Tangga-tangga pondok dihubungkan ke perigi  oleh sederet batu-batu titian, yang membolehkan pelajar-pelajar yang tidak bersepatu dapat mencuci kaki dan terus naik ke pondok masing-masing.

 

Sekolah-sekolah pondok di Tanah Melayu sebilangan besarnya di kawasan-kawasan penanaman padi seperti negeri Kedah dan Kelantan. Selain dari itu terdapat beberapa kawasan seperti Seberang Prai, Perlis, Terengganu, Selangor, Perak dan Johor.

 

Melalui institusi pengajian pondok ini, Pendidikan Islam terus berkembang dan bertambah secara bersendirian tanpa gangguan dari pemerintah. Perkembangannya mencapai tahap kegemilanganya pada abad ke 19 masihi. Selepas itu disebabkan beberapa faktor yang tersendiri menyebabkan  institusi pengajian pondok mengalami zaman kemerosotan.

 

 

ULASAN DARIPADA HJ. ABDUL KADIR BIN CHE KOB PENGASAS P.I.P.I

 

1.                  ISU-ISU DAN PERMASALAHAN

 

1.1               Sistem pengajian pondok yang diwarisi oleh umat Islam di seluruh dunia adalah cebisan pusaka peninggalan tamadun Baghdad. Ia tersebar luas ke seluruh dunia dan juga kawasa Asia Tenggara berabad-abad lamanya. Peranan yang dimainkannya telah dapat mempertahan, mengukuh dan menyebarkan ajaran Islam secara berkesan, secara berterusan dan sistematik, sejak negara-negara di Asia Tenggara menerima Islam. Ianya menjadi rujukan masyarakat, konsisten, dominan dan berwibawa sepanjang perkembangan sejarahnya.

 

1.2               Keutuhan dan thiqah yang ada padanya menjadi faktor yang meyakinkan umat Islam khususnya di nusantara. Dimensi tunjangnya sepadu antara kekuatan Iman, ketulusan amal, kemantapan ilmu, dan kombinasi akhlak diadunkan sekali dalam ramuan pengembangan ilmu, keluhuran budi dan kemantapan amal . Sepanjang perkembangan sejarahnya, ianya telah berjalan merentasi apa jua cabaran akidah, budaya dan sosial.

 

1.3               Apabila dimensi ilmu dan amal telah dipisahkan daripada persepaduannya di dalam arus pendidikan ummah, pengembangan ilmu dipisahkan daripada pendidikan akhlak dengan membentuk hala cara baru. Para pendidik memberikan penumpuan kepada momentum ilmu semata-mata, sementara persoalan akhlak telah diasingkan dan diserahkan sepenuhnya kepada institusi keluarga; maka lahirlah masyarakat Islam dengan wajah baru yang memisahkan kecemerlangan ilmu dengan kecemerlangan akhlak. Ia mengakibatkan berlaku cabaran getir kepada institusi sosial dan kekeluargaan.

 

1.4               Institusi keluarga telah semakin sempit, terdiri daripada ibu bapa dan anak-anak semata-mata, padahal institusi ini sepatutnya melebar kepada ibu bapa, kerabat, kepupuan dan saudara-mara yang membentuk dominasi sistem pendidikan kekeluargaan. Manakala institusi sosial pula hanya tertumpu kepada pengawalan rasmi dan perundangan semata-mata tanpa ada campurtangan daripada anggota sosial seperti sahabat, jiran dan kerabat.

 

1.5               Apabila negara mencapai kemerdekaan, sistem pengajian pondok telah mengalami perubahan dengan wujudkan sekolah-sekolah yang mengambil peranannya. Walaupun pada zaman peralihannya, pondok terus kekal bersama sekolah, berjalan selari memberi sumbangan kepada pendidikan ilmu dan akhlak; tetapi lama-kelamaan institusi pondok tidak dapat bertahan dalam arus perkembangan sejarahnya, yang  kekal hanya sekolah yang berkembang maju manakala pondok telah terkubur atau hampir pupus. Ketiadaan sistem pendidikan ala-pondok telah mengakibatkan satu kekosongan kepada dimensi pendidikan bersepadu antara ilmu dan akhlak, yang sifatnya adalah thiqah. Sedangkan pembentukan akhlak adalah menjadi penggilap kepada amalan.

 

1.6               Pada masa ini tiada lagi tempat bagi mereka yang ingin membuat rujukan, mengulangkaji dan memantapkan kethiqahan ilmu mereka termasuk juga ketiadaan tempat bagi tujuan bermuzakarah dan mendalami kemahiran ilmu nassi warisan ulamak silam, dalam usaha untuk menangani dan mentahqiqkan permasalahan yang dihadapi. Ada pihak-pihak yang ingin mendalami Islam di kalangan dewasa, namun tiada tempat yang mereka boleh tujui, hanya beberapa ketika di masjid dan surau, manakala tempat khusus untuk tujuan tersebut sukar dicari. Hal inilah yang mengakibatkan ada golongan tertentu di dalam pencarian mereka terperangkap dengan ajaran salah.

 

1.7               Institusi pondok sepanjang perkembangan sejarahnya telah meletakkan hala tuju asas yang betul dalam membentuk kefahaman dan pengajian kepakaran dalam bidang-bidang pengajian bahasa dan kesusasteraan, budaya dan peradaban, Syariah, Usuluddin, Tafsir, Tasawwuf, Al-Quran dan Al-Hadith. Masyarakat masih lagi memerlukannya untuk menghadapi perkembangan semasa dan menghadapi realiti yang wujud di hadapan mereka. Untuk itu, mereka memerlukan tenaga-tenaga yang berkemahiran di peringkat kefahaman kepada nas-nas dan kitab-kitab lama warisan ilmuan silam yang dikenali sebagai kemahiran Ta’biri; malah lebih jauh daripada itu masyarakat memerlukan tenaga-tenaga yang berkemahiran tinggi di dalam mentahqiq ilmu dan maklumat yang dikenali sebagai Tahqiqi; juga kemahiran yang tinggi dalam menghalusi permasalahan yang dihadapi yang antaranya tidak terdapat dalam ijtihad ulamak silam yang dikenali sebagai kemahiran Tadqiq. Malah lebih mendalam lagi mereka memerlukan tenaga yang berkemahiran tinggi dalam meneroka masalah yang lebih kompleks yang dihadapi oleh masayarakat pada hari ini yang memerlukan penilitian dan kajian yang mendalam yang merentasi keperlbagaian disiplin ilmu dan kepakaran yang dikenali sebagai kemahiran Ta’miqi.

 

1.8               Untuk tujuan tersebut, bagi menangani permasalahan dan kegawatan ummah yang berpunca daripada tiga ( 3 ) faktor utama iaitu kegawatan kefahaman, kegawatan pentafsiran dan kegawatan pendekatan; perlu ada satu institusi yang dapat menyediakan laluan dan kemudahan melatih dan membimbing kepakaran-kepakaran tersebut untuk kemaslahatan ummah Islam pada masa ini. Kerana itulah Pusat Ilmu Penyelidikan Islam (P.I.P.I.) atau dalam Bahasa Inggerisnya Islamic Research Training Centre (I-RETRACE) diketengahkan kepada masyarakat Islam di Malaysia khususnya dan kepada umat Islam dunia amnya sebagai wadah yang dapat memenuhi tuntutan keperluan pada masa kini, yang mana ia dapat menyediakan latihan kepakaran dalam bidang-bidang berikut:

 

i.                     Kemahiran Ta’biri

Ia adalah penyediaan proses untuk melahirkan tenaga mahir yang dapat memahami dan menguasai kefahaman struktur kitab-kitab turath peninggalan ulamak silam.

ii.                   Kemahiran Tahqiqi

Ia adalah proses untuk memperdalami secara terperinci, bukan sahaja melibatkan kemahiran Ta’biri malah menguasai semua jenis instrumen keilmuan, qawaid (kaedah) dan aliran perbahasan ilmiah.

iii.                  Kemahiran Tadqiqi

Ia adalah proses penguasaan matan , syarah, wajhu istidlal dan istinbat.

iv.                 Kemahiran Ta’miqi

Iaitu proses yang amat tinggi yang membolehkan penganalisaan dapat dibuat bukan sahaja kepada wajhu istidlal dan istinbat, bahkan dapat menguasai ke peringkat taufiq dan tarjih.

 

1.9               Pada masa ini Malaysia boleh berbangga kerana masih ada lagi ulamak yang berkeupayaan di peringkat Ta’biri dan Tahqiqi dan masih lagi ada, walaupun sedikit, ulamak yang berkeupayaan di peringkat Tadqiqi. Masa masih belum terlewat untuk memulakan usaha ini pada ketika ini. Apa akan jadi kepada masyarakat dan umat Islam kita apabila sekiranya ulamak yang masih ada ini meninggalkan dunia ini tanpa pengganti? Tentunya tidak ada usaha lagi yang boleh dilakukan kerana pada masa itu " nasi sudah menjadi bubur " , menyesal tiada berguna lagi.

            Renungilah hadis ini :

 

            وعن ابن عمرو بن العاص رَضِيَ اللَّهُ عَنهُ قال سمعت رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّم يقول: إن اللَّه لا يقبض العلم انتزاعاً ينتزعه من الناس، ولكن يقبض العلم بقبض العلماء، حتى إذا لم يبق عالماً اتخذ الناس  رؤوساً جهالاً فسئلوا فأفتوا بغير علم فضلوا وأضلوا

            متفق عَلَيهِ.

            Maksudnya :

            Daripada 'Ibnu 'Amr Ibnu Al-'As katanya : saya mendengar Rasulullah (S.A.W) bersabda : sesungguhnya Allah tidak mencabut (menghapuskan) ilmu menyentapnya sekaligus daripada manusia, akan tetapi Allah mencabut ilmu daripada manusia dengan mematikan ulama' (tanpa pengganti) sehingga satu masa tiada lagi seorang pun yang alim (berilmu) , manusia akan mengambil orang-orang jahil sebagai ikutan, apabila ia (orang jahil) ditanya tentang sesuatu masalah ia memberi fatwa tanpa ilmu, akibatnya ia sesat dan menyesatkan orang lain. (Bukhari & Muslim)

                        Wallahu’alam bissawab.

© 2004 P.I.P.I. The Webmasters - Tuan Asmawi http://voicetatu.tripod.com & Mohd Suhaimi