Make your own free website on Tripod.com

PUSAT ILMU PENYELIDIKAN ISLAM ( P.I.P.I )

PENGENALAN PIPI
BORANG KEMASUKAN
AL-A'AWAAN
AL-RAAHAH
ARTIKEL & PUISI
WARGA PENGGERAK
BUKU PELAWAT
DISCLAIMER

KEFAHAMAN, PENTAFSIRAN DAN PENDEKATAN TERHADAP AJARAN ISLAM 

 

OLEH:

HJ. ABDUL KADIR BIN CHE KOB

B.A. Syariah Dan Undang-Undang (Al-Azhar, Mesir)

Diploma Undang-Undang & Pentadbiran Kehakiman Islam ( UIAM )

Dakwah Wal-Imamah, (Nilam Puri).

KANDUNGAN:

 

1. PENDAHULUAN

2. KEFAHAMAN DAN TAFSIRAN DI ZAMAN KEAGUNGAN TAMADUN ISLAM

3. PERSPEKTIF DIMENSI ILMU MAKRO DAN MIKRO

4.  AL-QURAN IBU SEGALA ILMU

5.  KEFAHAMAN, TAFSIRAN DAN PENDEKATAN

6.  PENDEKATAN PENGHAYATAN & MEREALISASIKAN AJARAN ISLAM DALAM KEHIDUPAN UMMAH

7. PENSEBATIAN HUKUM TAKLIFI DAN HUKUM WADHE’I

 

PENDAHULUAN

Diceritakan dalam kisah klasik, 4 orang buta ingin tahu gambaran rupanya seekor gajah. mereka  dibawa untuk menyentuh seekor gajah; seorang memegang ekornya, seorang lagi memeluk kakinya, seorang lagi meraba perutnya dan yang terakhir memegang belalainya. mereka bercerita sesama sendiri apa yang mereka sentuh, dan membuat tafsiran mengenainya.

 

Orang buta mentafsirkan rupa bentuk gajah tersebut mengikut apa yang mereka fikirkan dan apa yang mereka faham, kefahaman mereka adalah berkaitan dengan kadar kebolehan fahaman yang mereka alami dan yang terdaya dilakukan oleh mereka, melalui deria sentuhan yang terbatas.

 

Tafsiran terhadap ajaran Islam juga ada kaitannya dengan nilai atau tahap kefahaman seseorang terhadap sesuatu permasalahan.

 

Berapa luas persoalan kulliyyah ( كلية ) atau makro dapat difahami berkait rapat dengan tahap pengetahuan yang ada padanya.

 

Demikianlah juga dalam persoalan juziyyah ( جزئية ) atau mikro dapat difahami juga berkaitan dengan tahap kemampuan pengetahuan yang ada pada seseorang itu.

 

Keluasan kefahaman makro dan kedalaman  kefahaman mikro tertakluk kepada beberapa faktor, iaitu:

 

Penguasaan pelbagai ilmu dalam pelbagai disiplin ilmu dan kebolehan penganalisaan.

 

Latar belakang dan pengalaman hidup yang luas.

 

Keupayaan dan pengalaman membuat kajian dan penyelidikan ilmiah.

 

Keupayaan diri atau malakah, serta kemampuan intelektual.

 

KEFAHAMAN DAN TAFSIRAN DI ZAMAN KEAGUNGAN TAMADUN ISLAM

 

Tradisi ilmu di zaman keagungan tamadun Islam menitikberatkan penggilapan ‘malakah’ (ملكة) dan peningkatan tahap keupayaan intelektual.

 

Penerokaan pelbagai disiplin ilmu membolehkan umat Islam menguasai berbagai ilmu dan kepakaran, menyebabkan berlakunya peningkatan peradaban, ilmu dan tamadun.

Keluasan dimensi ilmu dan penerokaan penyelidikan serta penguasaan pelbagai disiplin, telah membuka ruang kepada kepelbagaian perspektif dan dimensi yang boleh dimanfaatkan; sama ada mengenai persoalan makro dan mikro, dalam kefahaman dan tafsiran.

 

(إختلاف أمتي رحمة) – Hadith bermaksud ‘Perbezaan pendapat umatku menjadi rahmat’ adalah motto yang menjadi penggerak kepada keluasan atau “samhah” – سمحة -  ajaran Islam yang membuka ruang kepada penerokaan bidang pengkajian dan penyelidikan keilmuan.

 

Sehingga telah membudayakan tahap kefahaman dan pentafsiran yang bercorak makro, mikro dan super mikro. Iaitu:

 

Ta’biriyah - تعبيرية

 

Tahqiqiyah - تحقيقية

                       

Tadqiqiyah - تدقيقية

           

Ta’miqiyah - تعميقية

 

Disiplin itulah yang telah melahirkan ulamak-ulamak yang mendapat gelaran: al-Fahhamah - الفهامة, al-Allamah - العلامة, Faidhul al-Khabir - فيض الخبير  al-Mudaqqiq - المدقق, al-Muhaqqiq - المحقق  atau Bahrul Ulum - بحر العلوم.

 

Demikian Allah SWT. telah menjanjikan bahawa Dia akan mengangkat darjat ilmuan dalam firmannya:

 

Ertinya:

 

Allah mengangkat darjat orang yang beriman di kalangan kamu dan mengangkat darjat orang yang berilmu beberapa darjat (tingkatan ketinggian martabat)

 

al-Mujadilah: 11

 

Contoh mudah bagi memahami konsep berkenaan seperti berikut:

 

Ta’biriyyah - Dari sebiji benih diusahakan untuk menjadi padi.

 

Tahqiqiyyah - Dari padi dijadikan beras.

 

Tadqiqiyyah - Dari beras dijadikan tepung.

 

Ta’miqiyyah - Dari tepung dijadikan pelbagai olahan ( kuih, makanan dan sebagainya ).

 

PERSPEKTIF DIMENSI ILMU MAKRO DAN MIKRO

 

Luas dan dalamnya ilmu umpama lautan, keluasannya yang tiada pantai, kedalamannya tiada dasar. Demikian itu kerana: makna, pengertian, natijah, kesimpulan, huraian, perbahasan, analisa dan teori tiada penyudahnya; sehingga dikatakan:

 

                        Pengertian tiada penghujung, dan

 

                        Perbahasaan juga tiada penghujung

 

Demikian erti yang diberikan kepada kefahaman dan pentafsiran, kefahaman berkaitan dengan makna, manakala pentafsiran berkaitan dengan perbahasaan, bicara dan analisa. Firman Allah SWT.:

 

Ertinya:
Dan sekiranya lautan dijadikan dakwat untuk menulis kalimah (ilmu) Tuhanku, tentulah kering lautan itu belum sempat menghabiskan kalimah Tuhanku, walaupun ditambah sebanyak mana lagi setanding dengannya.
Al-Kahf: 109

 

 

Luasnya dimensi makro dan mikro ilmu mencabar keupayaan manusia memahami dan mentafsirkan segalanya, kerana manusia dianugerahkan kemampuan yang terhad. Firman Allah SWT.

Ertinya:

Dan tidaklah kamu diberi pengetahuan dan ilmu melainkan sedikit jua.

Al-Isra’: 85

 

AL-QURAN IBU SEGALA ILMU

 

Al-Quran adalah ibu dan raja segala ilmu. Dorongannya telah menggerakkan masyarakat Arab Jahiliyah yang digelar oleh orang “Rom” dan “Parsi” sebagai ‘belalang padang pasir’ bangkit membangunkan tamadun ilmu dan kemanusian, mental, spiritual dan kebendaan, selama lebih 10 abad lamanya.

 

Mereka telah berjaya menerokai pelbagai ilmu, peradaban dan tamadun, menerokai penemuan ilmu baru, memperluaskan dimensi ilmu-ilmu dan warisan tamadun lama. Mereka telah dikenali serata dunia sebagai tokoh-tokoh ilmuan, budayawan, sasterawan, kesenian, jurutera, arkitek, doktor falsafah dan lain-lain.

 

Umat Islam dahulu telah membina empayar politik dari sempadan Perancis sehingga sempadan negeri China. Mereka menjadi umat yang menguasai dunia, menyambung tamadun, memberi erti kepada penghidupan dunia. Kini warisan peninggalannya telah pun diambil sebahagiannya oleh masyarakat barat sehingga mereka berupaya membina tamadun mereka sendiri.

 

 

Bagaimana memberi makna dan pengertian dan bagaimana juga mentafsirkannya? Di sinilah terletaknya permasalahan dan perbezaan umat Islam, antara umat Islam di zaman keagungan tamadunnya dan umat Islam masa kini. Ayat Al-Quran dan Hadith yang dibaca masih sama dari dulu hingga kini, tetapi yang menjadi persoalan kenapa nas-nas itu yang dibaca, difahami dan ditafsirkan oleh umat lampau menjadikan mereka umat yang mulia dihormati dan disegani, sedangkan pada masa ini ia berlaku sebaliknya?

 

Apakah pemahaman ‘syakli’ (شكلي) dan ‘maudhuei’ (موضوعي) yang berbeza telah mengakibatkan tafsiran yang berbeza dan seterusnya mengakibatkan pendekatan yang berbeza? Atau adakah ianya ada sebab-sebab lain yang menjadi punca berlakunya akibat-akibat yang terlalu ketara antara dahulu dan sekarang?

 

Dari abad pertama Hijrah sehingga abad ke 10 umat Islam dikagumi, mulia dan perkasa. Bermula dari abad ke 10 hijrah, sejak 500 tahun yang lalu umat Islam merudum, menjunam menjadi umat yang lemah tidak berupaya; bahkan diberikan dengan berbagai gelaran yang buruk seperti jumud, mundur, beku, dan lemah. Kini mereka dikenali sebagai “pengganas” pula! Al-Quran tidak salah, hadith-hadith Nabi SAW. tidak salah bahkan ilmu-ilmu yang ditinggalkan oleh para ulamak juga tidak salah! Apa yang salah adalah kefahaman, tafsiran dan pendekatan umat Islam kini, yang mana ia telah melahirkan individu, masyarakat dan kumpulan yang lemah, jumud, mundur bahkan disifatkan sebagai pengganas.

 

Antara faktor kelemahan umat Islam tersebut adalah:

 

Tadayyun manqus.

Kefahaman Juz’iyyat.

Penyelewengan fahaman.

Penyelewengan tafsiran.

Fanatik dan Asobiyyah.

Salah pendekatan.

Kepentingan diri dan puak serta hilangnya sifat Ithar.

Hilang jati diri.

Hilang semangat juang.

Pupus sifat-sifat mahmudah.

 

KEFAHAMAN, TAFSIRAN DAN PENDEKATAN

 

Al-Quran dan Hadith sebagaimana yang difahami oleh ulamak di zaman keagungan umat Islam sejak dari abad pertama dan seterusnya di zaman-zaman ketinggian martabat tamadun mereka, difahami dalam 2 dimensi iaitu:

 

- Memahami dan menterjemahkan kehendak ‘mantuq’ nya (منطوق)

 

                       

- Memahami dan mentafsirkan kehendak ‘mafhum’ nya (مفهوم)

 

Kedua-dua dimensi itu difahami, diolah tafsirannya, dan disusun pendekatannya, dan pelaksanaannya berdasarkan natijah yang mereka perolehi daripada kesungguhan usaha menerokai kepelbagaian situasi, fakta, ilmu, persekitaran dan ketajaman ‘hikmah’, justeru merealisasikan intipati ajaran Islam dalam konteks hukum-hukum ‘taklifi’ (تكليفي) dan hukum-hukum wadhei’ (وضعي) nya.

 

Sungguh indah dan teraturnya perbicaraan mereka, bahkan amat sistematik adunan kefahaman, tafsiran, kaedah pelaksanaan dan pendekatan yang berkekalan untuk generasi umat sezaman. Malah ada antara mereka telah mendahului masa sehingga ada membuat tanggapan kepada persoalan yang akan berlaku di selepas mereka, dengan menggunakan kaedah ‘al-Mafrudh’ (المفروض) kepada perkara yang belum wujud di zaman mereka tetapi dijangka akan berlaku selepas mereka.

 

Kini banyak masalah masih belum terjawab disebabkan bekunya aktiviti ‘ijtihad’; kerana ramai orang beranggapan pintu ijtihad telah tertutup rapat, tiada peluang baru untuk membukanya.

 

Benarkah pintu ijtihad telah tertutup? Atau adakah umat terlalu lemah kerana untuk mengatasi cabaran semasa yang memerlukan mereka ber’mujahadah’, eriltizam dan berusaha mencairkan sifat-sifat beku dan jumud yang menyelubungi kehidupan mereka?

 

Atau telah hilangkah semangat ‘jatidiri’ dan ‘semangat juang’ mereka sehingga mudah mengaku kalah, tidak berupaya mengatasi persoalan dan masalah yang mereka hadapi, sehingga ada yang sanggup melihat elemen-elemen berikut?

 

Kedangkalan kefahaman;

 

Kedangkalan tafsiran; dan

 

Salah pendekatan yang berlaku di hadapan mata mereka, di mana ada di kalangan umat ini semakin jauh melencong daripada panduan Ilahi.

 

Sehingga; ada yang jauh melencong seperti:

 

Menafikan thabitan dalil yang ‘Qate’i al-Thubut’ (قطعي الثبوت)  seperti nas yang ‘thabit’ (ثابت) secara ‘mutawatir’ (متواتر) ;

 

Memesongkan “pengertian dalil’ (دلالة) daripada (قطعي الدلالة) atau sebaliknya; disebabkan kejahilan atau kepentingan tertentu;

Tidak dapat menjadikan kehendak (قطعي الدلالة) antara mantuq nas dengan mafhum nas, atau sengaja mengenepikan kedua-dua mafhum dan mantuq atas sebab kepentingan diri dan puak; dan

 

Terlalu ghairah untuk melaksanakan hukum taklifi    (تكليفي) tanpa memerhati dan menghayati kehendak hukum ‘wadhe’i’ (وضعي).

 

Di manakah disiplin ilmu warisan ulamak silam yang mewariskan disiplin ilmu yang mereka hayati; dan ditinggalkan kepada generasi selepas mereka untuk dihayati, seperti:

 

Kefahaman dan tafsiran Ta’abiri;

Kefahaman dan tafsiran Tahqiqi;

Kefahaman dan tafsiran Tadqiqi; dan

Kefahaman dan tafsiran Ta’amiqi.

 

Disiplin-displin berkenaan memerlukan kefahaman dan tafsiran yang komprehensif, meluas, menilai segala perspektif, wajah istidlal, penghujahan dan cara mengambil rumusan.

 

Salah faham terhadap ajaran Islam disertai sikap mengambil mudah terhadapnya mengakibatkan implikasi yang berturutan, iaitu:

 

Salah pemahaman terhadap Islam

 

Lahir tafsiran yang salah

 

Menyalah tafsirkan ajaran Islam

 

Berlaku salah anggap terhadap Islam

 

Pengertian nas adalah selaras dengan fitrah kemanusiaan. Firman Allah SWT:

 

Ertinya:

Hadapkan dirimu (wahai Muhammad dan pengikutmu) ke arah agama yang benar agama yang Allah ciptakan sejajar dengan tabi’i manusia , tiada berlaku perubahan pada ciptaanNya, itulah agama yang benar serasi dengan manusia (terjamin kebaikan untuk manusia), tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.

Al-Rum: 30

 

Ajaran Islam memiliki ciri-ciri berikut:

 

Ajarannya yang syumul menepati fitrah kejadian manusia dan tugas manusia sebagai hamba Allah SWT. dan khalifahNya di muka bumi.

 

Ajaran Tauhid dan pegangan ‘Iktiqad’ tidak berubah meskipun berlaku perubahan masa dan zaman sejak Nabi Adam AS. sehingga ke akhir zaman.

 

Ajaran syariatnya mantap meskipun ada perubahan dan perbezaan antara syariat antara satu Rasul dengan yang lainnya, disebabkan perubahan persekitaran, tuntutan keperluan dan kesesuaian kemanusiaan kerana fitrah manusia. Kata-kata hukama’: (الإنسان مدني بالطبع)

 

Ajaran akhlaknya universal dan sejagat, serasi dengan sifat-sifat dan fitrah kemanusiaan yang tulen.

 

Oleh itu apa-apa kefahaman, pentafsiran dan penghayatan yang melencong serta dianggap telah menyeleweng daripada dua ( 2 ) keadaan tadi, ia adalah sama ada “sesat” ataupun akan mendapat “kemurkaan” Allah SWT. (maksud Al-Fatihah: Ayat 7)

 

Kesyumulan sistem yang terdapat di dalam ajaran Islam telah mencukupi untuk manusia sama ada peranannya sebagai ‘khalifah’ di bumi yang diberi peranan meng’islah’kannya untuk faedah sekalian makhluk yang ada di atasnya iaitu haiwan, manusia, alam, kestabilan, kemantapan, dan keindahan untuk dinikmati bersama,  ataupun peranan sebagai hamba kepada Allah SWT. yang menyerah diri kepada Allah dalam segala amalan, tindak tanduk dan penghayatan.

 

 

Memang manusia akan kekal dengan ‘fitrah’ alam, dan haiwan berada di kedudukan ‘fitrah’nya selama manusia tidak mengkhianatinya, selagi mereka kekal berpegang kepada ajaran yang dikurniakan oleh Allah SWT.

 

PENDEKATAN PENGHAYATAN & MEREALISASIKAN AJARAN ISLAM DALAM KEHIDUPAN UMMAH

 

Kefahaman dan tafsiran yang betul, tepat dan jitu melahirkan pendekatan dan tindakan yang juga bersifat betul, tepat dan jitu, dan dikategorikan oleh Allah SWT. Sebagaimana firmanNya:

 

Ertinya:

Sesiapa yang taatkan Allah dan Rasul maka mereka itu akan diberi nikmat oleh Allah bersama-sama para nabi, para siddiqin (orang yang membuktikan iman dengan amalan) para syuhada (mereka yang menjadi contoh yang terbaik) dan orang-orang yang soleh dan amat elok mereka menjadi teman.

Al-Nisa’: 69

 

Berjayakah umat Islam kini mencapai tahap yang dibuktikan oleh umat Islam di zaman kegemilangannya? Sepertimana yang disifatkan oleh nas-nas berikut:

                       

الاسلام يعلو ولايعلى عليه

           

           

Ertinya:

Islam tertinggi (termulia) tiada yang lebih tinggi darinya.

al-Hadith

 

Apakah umat Islam kini telah mencapai kedudukkan tertinggi berbanding dengan umat lain?

Mampukah umat Islam mencapai taraf ummah contoh terbaik kepada seluruh manusia?

 

Ertinya:

Dan demikianlah Kami jadikan kamu umat terbaik yang menjadi contoh (saksi) kepada seluruh manusia.

Al-Baqarah: 143

 

Mampukah untuk Islam menjadi penguasa yang bertanggungjawab memastikan bahawa bumi sentiasa dapat di’islah’kan?

 

Ertinya:

Dan janganlah merosakkan bumi selepas di“islahkannya”.

Al-A’raf: 85

 

Bolehkah umat Islam menjadi pewaris dan penguasa yang menjaga kepentingan bumi ini?

Ertinya:

Sesungguhnya bumi diwarisi oleh hamba-hambaku ( orang mukmin ) yang soleh

 Al-Anbiya’: 105

 

Inilah soalan yang mesti ada dalam minda dan hati sanubari umat Islam, kerana kesempurnaan iman dan taqwa menuntut 3 aspek penghayatan dan pendekatan iaitu:

 

 التصديق بالقلب, الإقرار باللسان, وصدقه العمل

 

Ertinya:

Ketetapan dan keyakinan di hati, pengakuan di lidah dan dibuktikan oleh amalan dan tindakan.

 

 

Kesyumulan sistem fitrah yang terdapat di dalam ajaran Islam menuntut umat Islam meraikan keseluruhannya dalam permahaman, pentafsiran dan penghayatan. Adunan pemahaman, pentafsiran dan penghayatan yang betul adalah paksi utama dalam usaha merialisasikan kandungan yang indah dan mulia yang terdapat di dalam realiti penghayatan ummah. Kepincangan di dalam adunan itulah yang selama ini menjadi punca kegawatan umat Islam yang menjadikan mereka menjunam dan merudum ke tahap yang ada sekarang.

 

Berupayakah umat ini merealisasikan keseluruhan ‘maqasid’ (مقاصد) syarak dalam usaha mereka menterjemahkannya ke dalam realiti hidup? Sejarah silam mereka terbukti bahawa mereka sebenarnya boleh berjaya dan  sebenarnya mereka adalah umat yang berupaya dengan izin Allah SWT.

 

Kini mereka mesti berusaha dan berikhtiar sekali lagi untuk membebaskan diri dari kegawatan yang melingkari kehidupan mereka, dan mereka mesti berusaha mengimbangi antara kefahaman pentafsiran dan pendekatan, berdasarkan kepada contoh tauladan kejayaan di zaman silam, iaitu pendekatan melalui kaedah :

 

Kesyumulan sistem yang terdapat dalam ajaran Islam tidaklah menuntut segala-galanya dilaksanakan sekaligus, kerana ia adalah di luar kemampuan mereka. Destinasi yang memerlukan langkah seribu menuntut langkah pertama dan langkah-langkah berikutnya, adalah mustahil bagi manusia melangkah seribu dalam satu masa. Bahkan langkah demi langkah diperlukan untuk sampai ke langkah yang ke seribu.

 

Setiap langkah ada kesukarannya dan ada bebanannya. Bagaimana langkah itu dibina dengan keupayaannya yang tersendiri? Ia memerlukan penganalisaan, muhasabah, muraqabah dan merenung akan akibat-akibat sampingan yang lahir darinya, atau manfaat yang diperolehi dari kesannya.

 

PENSEBATIAN HUKUM TAKLIFI DAN HUKUM WADHE’I

 

Umat Islam sentiasa mengaku dirinya sebagai hamba Allah SWT.. Segala usahanya adalah diharapkan akan menjadi ibadat dan sumbangan pengabdian yang mutlak kepada Allah SWT.

 

Segala niat, tutur kata dan perbuatan diharapkan akan menjadi amal soleh, harapan yang menggunung, antara takut (الخوف) dan harapan  (الرجاء), kerana takutkan kemurkaan Allah SWT. dan amalan menjadi sia-sia, dan mengharapkan rahmat Allah SWT. Mereka sentiasa mengulang-ulangkan ‘iqrar’:

 

Ertinya:

Sesungguhnya solatku, “nusukku”, hidup dan matiku kerana Allah Penguasa Alam.

Al-An’am: 162

 

Dalam usaha memutlakkan pengabdian, kadang-kadang manusia lupa bahawa keghairahan, keinginan dan harapan pengabdian itu mengikat mereka mematuhi antara hukum Taklifi dan hukun Wadh’ei.

 

Dalam melaksanakan rukun Islam yang 5, biasanya umat Islam akur dengan adunan kedua tuntutan Taklifi dan Wadhe’i, namun begitu dalam urusan yang lain mereka selalunya melakukan tindakan dengan mengenepikan hukum berkenaan atau salah satunya. Demikianlah juga mereka kadang-kadang mengenepikan sebab, syarat atau halangan (مانع) ketika melaksanakan sesuatu tuntutan.

 

Kaedah fiqhiyyah (الأمور بمقاصدها) menuntut supaya perilaku ibadah disertakan dengan niat dan tujuan pengabdian kepada Allah SWT.. Tujuan perilaku sekiranya berlawanan dengan ‘maqasid syariah’, tentunya ‘maqasid syarak’ mesti diutamakan, itulah kehendak daripada kaedah fiqhiyyah (الغاية لاتبررها الوسيلة). Tujuan yang baik tidak membenarkan cara yang salah.Ilmu matematik mengajar manusia bahawa untuk mencapai natijah yang betul mestilah juga dengan jalan yang betul. Jalan ialah ’wasilah’ untuk mencapai natijah.

 

Kerana itulah ‘ijtihad’ seseorang mujtahid tidak mengikat sesiapa melainkan dirinya. Orang lain boleh memeriksa, dalil, istidlal, wajah istidlal dan madhulnya. Jika ‘waqiei’ (واقعي) nya ada persamaan, bolehlah ia memakainya. Jika ‘waqiei’ nya berbeza seharusnya ‘ijtihad’ yang lain digunakan bagi mencapai tujuan maqasid syarak, berdasarkan kepada ‘Ihtimal’ (إحتمال) yang berbeza, madlul dari dalilnya atau dari ‘waqi’ei’nya.

 

 

Oleh kerana terdapat kaedah (عدم حتمية الخلاف) tiada kepastian siapa yang betul di dalam masalah khilafiyyah (خلافية), kita bebas untuk mencari rujukan yang sesuai dengan persekitaran dan keadaan kita pada masa ini.

 

 

Itupun sekiranya kefahaman dan tafsirkan yang dilakukan oleh mereka yang ahli dalam ijtihad. Manakala jika mereka yang mengaplikasikannya bukan dari ahli ijtihad, maka kita berhak memilih jalan-jalan kita sendiri yang bersesuaian dengan maqasid umum dalam syariat Islam.

 

Kesimpulannya, adalah menjadi satu keperluan yang mendesak untuk umat Islam pada hari ini mempunyai satu institusi yang mampu memberikan latihan untuk mempertingkatkan keupayaan ummah dalam aspek kefahaman, pentafsiran dan pendekatan terhadap ajaran Islam. Atas dasar inilah maka Pusat Ilmu Penyelidikan Islam ( P.I.P.I. ) diwujudkan.

© 2004 P.I.P.I. The Webmasters - Tuan Asmawi http://voicetatu.tripod.com & Mohd Suhaimi