Make your own free website on Tripod.com

PUSAT ILMU PENYELIDIKAN ISLAM ( P.I.P.I )

PENGENALAN PIPI
BORANG KEMASUKAN
AL-A'AWAAN
AL-RAAHAH
ARTIKEL & PUISI
WARGA PENGGERAK
BUKU PELAWAT
DISCLAIMER

PERKHIDMATAN AL-A‘AWAAN ( الأعوان )

PUSAT ILMU PENYELIDIKAN ISLAM (PIPI)

 

 

1.                  PENDAHULUAN

 

“Al-A’awaan” ( الأعوان ) dalam bahasa Arab ialah kata “ Jam’ ” kepada perkataan  “’Aun” ( عون ) yang bermaksud pertolongan. Dalam konteks ini, PIPI menyediakan satu perkhidmatan khas kepada golongan orang awam dengan menyediakan tempat tinggal yang berhampiran dengan kampus PIPI. Ini akan membolehkan mereka mengikuti pengajian khas yang disediakan di Pusat berkenaan, di samping mereka dapat bersama-sama dengan jurulatih dan pelatih PIPI di dalam suasana keilmuan pada setiap masa.

 

 

2.                  LATAR BELAKANG

 

2.1               Dalam tradisi pondok orang awam yang pernah dilaksanakan di negara ini khususnya, warga emas datang dan tinggal di kawasan berhampiran dengan pondok. Langkah ini membolehkan mereka belajar hal ehwal agama melalui kelas-kelas yang diadakan khusus untuk mereka. Tujuan penempatan yang berhampiran dengan PIPI  adalah bagi membolehkan mereka menikmati kehidupan di dalam jemaah orang-orang berilmu.

 

2.2               Dengan yang demikian, mereka bersama-sama dapat memanfaatkan suasana keilmuan di dalam persekitaran berkenaan. Dengan itu mereka juga akan sentiasa memperolehi antaranya penjelasan-penjelasan terhadap permasalahan yang kurang difahami dan kurang dimengerti. Melalui konsep al-A’awaan ini maka kebanyakan penghuninya adalah terdiri daripada warga emas yang memerlukan hidup dalam suasana jemaah sesama mereka. Di samping itu mereka juga akan dapat belajar bersama-sama serta dapat mengambil tahu akan kebajikan sesama sendiri.

 

2.3               Perkataan al-A’awaan diambil dari Bahasa al-Quran yang bermaksud tolong-menolong; sesuai dengan firman Allah SWT. dalam Surah al-Maidah ayat 2:

 

maidah2.gif

 

 

 

Maksudnya: “Dan tolong-menolonglah kamu kepada kebajikan dan taqwa dan janganlah kamu tolong-menolong kepada kejahatan dan perseteruan”.

 

 

3.                  RASIONAL

 

3.1               Dalam masyarakat moden di negara kita pada hari ini, jumlah warga emas dijangka akan bertambah berikutan peningkatan kadar hayat penduduk negara ini. Adalah dianggarkan purata umur kaum lelaki telah meningkat kepada 76 tahun berbanding hanya 56 tahun pada tahun-tahun sebelum 50’an. Sementara itu, purata peningkatan umur wanita pula meningkat kepada 78 tahun berbanding hanya 60 tahun pada tahun-tahun sebelum 50’an.

 

3.2               Masyarakat Malaysia pada keseluruhannya amat prihatin terhadap warga emas khususnya dalam aspek kebajikan dan pembelaan. Warga emas adalah terdiri daripada ibu bapa atau datuk nenek sesebuah masyarakat itu sendiri. Sementara itu, terdapat satu budaya unik yang wujud pada warga emas berbangsa Melayu. Mereka kebiasaannya enggan atau keberatan untuk tinggal dan menumpang hidup di rumah anak-anak atau saudara mara. Mereka dilihat lebih rela hidup secara bersendirian dan berdikari, walaupun keadaan tersebut amat membimbangkan anak cucu mereka sendiri.

 

3.3               Anak cucu dan saudara-mara juga menghadapi dilema untuk memelihara warga tua ini dengan sebaiknya. Ini berikutan kesibukan tugas dan kerjaya kerana ada antara mereka yang bekerja di bandar dan wilayah berjauhan. Dengan yang demikian, mereka tidak mempunyai banyak kesempatan untuk menjaga ibu bapa dan datuk nenek mereka sendiri. Pada masa yang sama, mereka enggan menghantar warga emas tersebut ke rumah-rumah kebajikan atau rumah perlindungan warga emas. Tindakan berkenaan adalah mengaibkan dan disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab pada tanggapan masyarakat Melayu.

 

3.4               Justeru itu, PIPI menyediakan perkhidmatan menjaga warga emas dengan kelengkapan tempat tinggal kepada mereka yang memerlukannya. Terdapat tiga ( 3 ) jenis kelengkapan penginapan yang disediakan dan dikelaskan sebagaimana berikut:

 

a)                  Tempat tinggal bertaraf 5 bintang

b)                  Tempat tinggal bertaraf 3 bintang

c)                   Tempat tinggal taraf ekonomi.

 

3.5               Tempat tinggal yang berbeza-beza itu untuk melambangkan pilihan kelengkapan yang disediakan mengikut keupayaan dan kemampuan warga emas atau keluarga mereka membayar perkhidmatan yang ditawarkan. Perkhidmatan dan kelengkapan serta prasarana yang disediakan adalah mengikut klasifikasi standard hotel atau kondominium; mengikut jumlah bintang yang diberikan.

 

3.6               Konsep yang diterapkan dalam al-A’awaan ini adalah mengambil kira segala pendekatan yang dilaksanakan di rumah-rumah kebajikan orang-orang tua yang dikendalikan oleh pihak swasta. Pada masa yang sama konsep ta’awun  ( تعاون )yang terdapat di dalam ajaran Islam dapat dilaksanakan dan direalisasikan dengan sempurna. Dalam pada itu juga, warga emas dapat menuntut ilmu pengetahuan khususnya ilmu agama dan menghabiskan sisa hidup mereka dalam satu institusi yang kondusif bagi mereka. Bagi masyarakat pula, al-A’awaan secara tidak langsung dianggap sebagai pembasmi gejala pengabaian dan penganiayaan terhadap golongan warga emas kerana institusi ini dapat mendidik masyarakat aspek-aspek kebajikan warga emas sebagaimana yang dituntut Islam.

 

 

4.                  OBJEKTIF

 

4.1               Rangkaian al-A’awaan ini secara tidak langsung akan memberikan pulangan kewangan kepada institusi PIPI dan bertindak sebagai kumpulan penggerak dan pendokong kemajuan institusi berkenaan.

 

4.2               Al-A’awaan akan dapat mendidik masyarakat agar menjadi sebuah masyarakat penyayang dan berbudi pekerti mulia terhadap warga emas seterusnya mengeratkan silaturrahim di kalangan mereka.

 

4.3               Al-A’awaan akan dapat menghidupkan tradisi dan syiar Islam yang menitikberatkan aspek mukafa’ah ( مكافئة ) .

 

 

5.                  SISTEM RANGKAIAN AL-A’AWAAN

 

5.1              Rangkaian al-A’awaan akan terbentuk berdasarkan kepada konsep up-line dan down-line yang sistematik, dan dicadangkan dalam bentuk sistem berikut:

 

 

a.         Peringkat Pusat              -diketuai oleh Amin ( أمين )

b.         Peringkat Zon                -diketuai oleh ‘Amid( عميد )

c.          Peringkat Qaryah           -diketuai oleh Dhabit(  ضابط )

d.         Peringkat B                    -diketuai oleh Raqib ( رقيب )

e.         Peringkat A                      diketuai oleh Aun  ( عون )

 

Setiap peringkat kumpulan akan mengandungi sejumlah lima ( 5 ) orang ahli dan diketuai oleh seorang ketua. Justeru itu setiap kumpulan terdiri daripada enam ( 6 ) orang sahaja termasuk seorang ketua. Pertambahan ahli berlaku sekiranya setiap Mukafi  mendapat lima ( 5 ) orang ahli dan Mukafi akan meningkat menjadi Aun, dan begitulah seterusnya. Kedudukan ini adalah sebagaimana rajah berikut:

rajahawaan.gif

6.                  FAEDAH-FAEDAH

 

6.1               Institusi Al-A’awaan ini akan menawarkan khidmat pembacaan Yaasin dan tahlil kepada mana-mana ahlinya yang sakit atau meninggal dunia;

 

6.2               Kumpulan tahlil daripada Al-A’awaan ini akan memberikan perkhidmatan bila-bila masa diperlukan; dan

 

6.3               Kumpulan-kumpulan usrah atau halaqah akan dibentuk di kalangan Al-A’awaan bagi memantapkan perhubungan silaturrahim dan persaudaraan di samping proses peningkatan ilmu.

 

 

7.                  KEMASUKAN

 

Permohonan untuk menjadi Mukafi bolehlah dibuat dengan mengemukakan dua ( 2 ) borang permohonan yang lengkap diisi berserta dua ( 2 ) keping gambar berukuran paspot.

 

 

8.                  KEAHLIAN

 

8.1               Setiap Institusi Al-A’awaan berhak menerima atau menolak sebarang permohonan keahlian tanpa sebarang notis.

 

8.2               Pihak Institusi Al-A’awaan berhak menamatkan keahlian Mukafi, menaik atau menurunkan kedudukan Aun, Raqib, Dhabit dan A’mid sekiranya didapati menyalahi etika dan peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak Pengurusan.

 

 

9.                  ETIKA DAN PERATURAN

 

9.1               Semua ahli tidak dibenarkan menganjur atau melibatkan diri atas nama institusi dengan program parti politik. Walau bagaimanapun mereka boleh terlibat atas nama diri sendiri.

 

9.2               Semua ahli tidak dibenarkan menganjur atau melibatkan diri dengan ajaran salah atau kumpulan ajaran sesat.

 

9.3               Semua ahli dikehendaki mematuhi syarat-syarat dan ketetapan-ketetapan serta peraturan-peraturan yang dikeluarkan oleh Pengurusan.

 

9.4               Semua ahli adalah dilarang melakukan sebarang perkara yang disifatkan bertentangan dengan ajaran dan akhlak Islam.

 

 

10.                  PERKHIDMATAN AL-A’AWAAN

 

Al-A’awaan juga menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan berikut khususnya untuk majlis-majlis berbentuk kekeluargaan bagi memupuk semangat muhibbah dan kasih sayang di dalam masyarakat, antaranya adalah:

 

10.1            Perkhidmatan kumpulan nasyid untuk Majlis Pertunangan dan Perkahwinan;

10.2            Perkhidmatan kumpulan tahlil untuk majlis kesyukuran dan doa selamat;

10.3            Perkhidmatan kumpulan berzanji, marhaban dan selawat bagi Majlis Aqiqah, Maulidur Rasul dan majlis bercukur rambut bayi;

10.4            Perkhidmatan kumpulan hafiz bagi Majlis Khatam al-Quran untuk kanak-kanak yang bakal berkhatan;

10.5            Perkhidmatan tenaga pengajar kelas fardhu ain dan tajwid di rumah bagi kanak-kanak dan orang dewasa;

10.6            Perkhidmatan kaunseling kekeluargaan dan pakar rujukan hukum syarak; dan

10.7            Perkhidmatan katering untuk persiapan sebarang majlis atau acara kekeluargaan.

© 2004 P.I.P.I. The Webmasters - Tuan Asmawi http://voicetatu.tripod.com & Mohd Suhaimi