Make your own free website on Tripod.com

PUSAT ILMU PENYELIDIKAN ISLAM ( P.I.P.I )

PENGENALAN PIPI
BORANG KEMASUKAN
AL-A'AWAAN
AL-RAAHAH
ARTIKEL & PUISI
WARGA PENGGERAK
BUKU PELAWAT
DISCLAIMER

PERKHIDMATAN AL-RAAHAH ( الراحة )
PUSAT ILMU PENYELIDIKAN ISLAM (PIPI)

 

1.                  PENDAHULUAN

 

Perkataan ‘al-Raahah’ adalah dipetik daripada sebuah Hadith Rasulullah SAW. yang bermaksud “Berhenti daripada menerima bebanan yang berat dan dosa”. Ia juga dipetik daripada sebuah doa Baginda yang bermaksud “Wahai Tuhanku jadikanlah mati itu sebagai satu pemberhentian daripada menerima bebanan dan dosa”. Berdasarkan kepada dua buah hadith ini maka perkhidmatan al-Raahah ini diperkenalkan dan diwujudkan negara ini, sebagai salah satu cabang perkhidmatan yang disediakan oleh Pusat Ilmu Penyelidikan Islam ( PIPI ).

 

 

2.                  LATAR BELAKANG

 

2.1               Perkhidmatan al-Raahah adalah bertujuan untuk membantu kaum muslimin dan muslimat khususnya dalam meringankan atau mengurangkan bebanan mereka dalam aspek pengurusan jenazah saudara mara dan sahabat handai. Bebanan menguruskan jenazah saudara mara dan sahabat handai adalah tidak dapat dielakkan kerana ia adalah satu tanggungjawab. Dalam keadaan suasana kematian sanak saudara dan sahabat handai, saudara mara yang tinggal bukan sahaja dibebani dengan tanggungjawab untuk mengruskan jenazah tetapi juga menanggung kesusahan dan kesedihan. Justeru itu al-Raahah diharapkan akan dapat membantu golongan ini sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia, sebagai langkah memberikan sesama Islam keringanan daripada tanggungan dan bebanan.

 

2.2               Bertolak daripada hasrat yang tersebut, perkhidmatan al-Raahah merancang dan menggerakkan pengisian perkhidmatan yang akan diharapkan oleh kaum muslimin dan muslimat. Pengisian ini terdiri daripada amalan-amalan tradisi Islam yang dipraktikkan oleh ulamak silam. Tradisi ini telah lama tidak dihidupkan dan sebahagian atau keseluruhan tradisi ini kian pupus ditelan arus masa. Justeru itu pengwujudan perkhidmatan al-Raahah ini akan menghidupkan semula, mengembangkan serta meneruskan tradisi ini secara lebih menyeluruh.

 

 

3.                  RASIONAL

 

3.1               Amalan ulamak silam yang dianjurkan oleh syariat Islam adalah amat digalakkan. Dalam masyarakat Melayu khususnya amalan ulamak silam ini menjadi tradisi turun temurun dari generasi ke generasi. Namun begitu menyentuh aspek perkhidmatan al-Raahah, amalan sebegini tidak banyak lagi diamalkan sepenuhnya. Justeru itu pusaka tradisi turun menurun ini telah dihapuskan oleh arus pergerakan masa dan perubahan gaya hidup umat yang lebih berbudaya korporat dan industri. Penghidupan semula perkhidmatan al-Raahah dengan kaedah yang lebih strategik dan sistematik ini diharap akan dapat merealisasikan semula kegemilangan tradisi ini yang diamalkan di zaman lampau.

 

3.2               Perubahan zaman dan cara hidup juga telah menghakis sifat bantu-membantu kaum muslimin dan muslimat khususnya dalam segala urusan yang membawa kepada kebaikan dan teguran serta ketakwaan. Dengan yang demikian perkhidmatan al-Raahah akan menampung kekurangan ini dan mengambil pendekatan yang bersesuaian dengan kehendak dan keperluan masyarakat industri dan korporat.

 

3.3               Perkhidmatan al-Raahah ini akan memperlengkapkan pengamalan semula warisan tradisi amalan ulamak silam tersebut dengan mewujudkan sebuah tanah perkuburan yang kondusif kepada masyarakat. Tanah perkuburan ini akan lebih mirip kepada sebuah taman yang lengkap dengan lanskap yang menarik dan indah, sesuai untuk memberikan ruang untuk masyarakat umumnya dan para pelatih Pusat Ilmu Penyelidikan Islam ( PIPI ) khususnya untuk berehat dan beramal serta bermunaqasyah ilmu dan kemahiran mereka. Dengan kaedah ini, pahala dan kebajikan setiap amalan mereka yang hidup di atas lanskap perkuburan itu akan dapat dimanfaatkan oleh mereka yang telah meninggal dunia. Hal yang demikian itu akan mengubah persepsi masyarakat bahawa tanah perkuburan bukanlah satu lanskap yang menakutkan atau menyeramkan.

 

 

4.                  OBJEKTIF

 

4.1               Untuk memberikan perkhidmatan pengurusan kematian bagi mengurangkan bebanan kepada keluarga, sanak saudara serta sahabat handai seseorang individu itu;

 

4.2               Untuk mewujudkan semula tradisi warisan ulamak silam dalam mempraktikkan syariat Islam sebenar berhubung pengurusan tanah perkuburan; dan

 

4.3               Untuk mewujudkan sebuah tanah perkuburan yang lengkap berlanskap bagi memberikan ruang kepada mereka yang masih hidup untuk memanfaatkannya seterusnya memberi ruang kepada yang telah meninggal dunia mendapat manfaat pahala amalan itu.

 

 

5.                  PERKHIDMATAN AL-RAAHAH

 

Antara bentuk perkhidmatan yang ditawarkan oleh al-Raahah ini antaranya adalah:

 

5.1              Pengurusan dan Pengendalian Sebelum / Selepas Kematian

 

5.1.1         Perkhidmatan kumpulan pembaca Surah Yaasin;

5.1.2         Perkhidmatan kumpulan pembaca talqin;

5.1.3         Perkhidmatan kumpulan tahlil arwah; dan

5.1.4         Perkhidmata kumpulan pembaca al-Quran di perkuburan.

 

5.2              Pengurusan Jenazah

 

5.2.1          Perkhidmatan urusan mandi jenazah;

5.2.2          Perkhidmatan urusan kafan jenazah;

5.2.3          Perkhidmatan urusan solat jenazah;

5.2.4          Perkhidmatan urusan pengangkutan jenazah;

5.2.5          Perkhidmatan urusan pengkebumian jenazah; dan

5.2.6          Perkhidmatan penyediaan dan pemasangan batu nesan.

© 2004 P.I.P.I. The Webmasters - Tuan Asmawi http://voicetatu.tripod.com & Mohd Suhaimi